KUALA LUMPUR – Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal sedang menjalani kuarantin kendiri selepas mempunyai kontak rapat seorang petugas kesihatan di asrama pekerja Tropicana Golf & Country Resort di sini.
Nik Ezanee berkata, petugas berkenaan menjadi kontak rapat kepada salah seorang pekerja yang disahkan dijangkiti Covid-19 hari ini.
“Pada pukul 2 petang tadi, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa saya mempunyai kontak rapat dengan seorang petugas kesihatan di asrama pekerja. Saya berjumpa dengan individu berkenaan pada Jumaat lepas.
“Bagaimanapun, saya masih menunggu keputusan daripada kontak saya untuk tindakan lanjut. Untuk itu, saya mengambil inisiatif untuk kuarantin kendiri bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Katanya, ujian swab akan dilakukan sekiranya kontak rapat (petugas kesihatan) itu didapati positif Covid-19.
Mengulas mengenai lawatannya ke asrama pekerja yang dihadiri ramai petugas media pagi tadi, Nik Ezanee berkata, semua petugas media tidak perlu risau kerana dia tidak bersentuhan selain mengamalkan semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM.
“Semasa lawatan tadi, saya mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka, membasuh tangan dan tidak bersentuhan dengan sesiapa,” ujarnya. – K! ONLINE