KUALA LUMPUR – Pelakon Ika Nabella mengakui berjumpa dengan seorang ustaz di Melaka untuk berubat sebagai ikhtiar memudahkannya hamil selepas mengalami keguguran kandungan pertama tiga tahun lalu.
Terdahulu, Ika pernah dilaporkan hamil pada tahun 2017 iaitu selepas setahun mendirikan rumah tangga bersama suami, Muhammad Zaid Aznam, namun dia mengalami keguguran sebelum disahkan hamil sekali lagi pada tahun lalu selepas melakukan rawatan Islam.
Dalam satu perkongsian yang dimuat naik di Instagram miliknya, Ika telah berkongsi sekeping foto bersama suami serta anaknya, Muhammad Noah Zyn dengan ustaz dari pusat Rawatan Islam Al-Mujahidin.
“Hampir setahun saya lahirkan zuriat pertama kandungan kedua saya! Bahagianya Dia tahu! Allah SWT tahu bukan mudah untuk tepis soalan sinis kiri kanan, petua lapuk atas bawah, suara sumbang depan belakang, lawak bodoh orang.
“Bersyukur dipertemukan dengan pasangan ini. Tak sangka ada yang sudi bantu kami yang buntu mahukan zuriat tanpa meletakkan sebarang bayaran.
“Selain amalkan pemakanan sihat, ubah gaya hidup, bersukan setiap hari. Ubah pemikiran. Salah satu cara saya dan @zaidbowie ikhtiar untuk hamil dulu adalah pergi berubat dengan ustaz,” ujarnya.
Selain melakukan rawatan Islam, Ika juga memberitahu bahawa dia turut mengamalkan petua pemakanan seperti meminum air rebusan buah zuriat setiap malam dan minum air kelapa bakar dengan bacaan ayat al-Quran.
Ujar pelakon drama Bahagia Bukan Bidaan itu lagi, hanya mereka yang TTC (Trying to Conceive – wanita yang cuba mengandung) sahaja tahu.
“Saya belajar erti reda selama tempoh mencuba, di kala saya reda, Allah kurniakan zuriat tak dijangka. Allah Maha Pemurah,” katanya.
Pada masa sama, Ika turut menasihati wanita lain yang sedang mencuba untuk mendapatkan zuriat agar terus bersangka baik dengan Sang Pencipta.
Malah pemilik nama sebenar Ika Nabila Abdul Rahim itu turut mendoakan supaya wanita yang mengalami masalah sukar hamil dapat merasai nikmat yang satu itu.
Ika mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Zaid Aznam pada 30 Julai 2016. Pasangan tersebut kemudian dikurniakan cahaya mata sulung, Muhammad Noah Zayn pada 23 Oktober 2019 selepas tiga tahun keguguran kandungan pertama. – K! ONLINE