Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
KEMAMAN – Cubaan sebuah bot nelayan Vietnam melepaskan diri daripada kepungan kapal peronda Maritim Malaysia (APMM) dengan menuju sempadan perairan antarabangsa gagal pada kelmarin.
Bot tersebut berjaya ditahan pada kedudukan kira-kira 150 batu nautika dari Kuala Kemaman pada pukul 12.05 tengah hari.
Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, sewaktu dikesan kapal peronda APMM pada pukul 11.45 pagi, bot nelayan Vietnam itu sedang leka menangkap ikan di perairan negara.
“Sebaik menyedari kehadiran kapal peronda APMM, nelayan Vietnam terlibat telah merentangkan tali pukat dan memecut laju bot mereka ke sempadan perairan antarabangsa.
“Begitupun, bot itu berjaya dipintas sebelum dapat ditahan selepas dikejar kira-kira 20 minit,” katanya pada sidang akhbar di Markas Maritim Kemaman di sini hari ini.
Rashidilhadi berkata, pemeriksaan terhadap 15 nelayan Vietnam itu yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 55 tahun tersebut mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
Menurut beliau, bot nelayan itu juga tidak mempunyai lesen sah untuk menangkap ikan oleh Jabatan Perikanan. – K! ONLINE