fbpx

23 pekerja Tropicana Golf & Country Resort positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seramai 23 orang penghuni asrama pekerja Tropicana Golf & Country Resort di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pukul 12 tengah malam tadi disahkan positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, jumlah tersebut adalah mereka yang telah menjalani saringan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bermula semalam.

Menurutnya, semalam, seramai 11 orang pekerja di asrama terbabit disahkan positif dan hari ini 12 orang lagi disahkan positif Covid-19.

“Setakat hari ini, seramai 23 orang pekerja telah disahkan positif Covid-19. Asrama ini menempatkan kira-kira 597 orang pekerja dan 358 daripadanya adalah pekerja warga asing dan selebihnya adalah rakyat tempatan.

“Pihak KKM akan mengemas kini senarai penghuni di asrama kerana ada di antara mereka telah pun menjalani ujian saringan sebelum ini,”katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ezanee berkata, semua pekerja yang disahkan positif telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut.

Jelas beliau, seramai 20 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah ditugaskan mengawal lokasi PKPD itu dan mereka akan dibantu kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Angkatan Perkhidmatan Awam (APM).

Kosmo! Online pada Sabtu lalu melaporkan PKPD akan dilaksanakan di asrama pekerja Tropicana Golf & Country Resort di Petaling Jaya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diputuskan selepas berbincang dan mendapat nasihat daripada KKM dalam sidang khas.

Katanya, lebih 500 individu akan terlibat dengan PKPD selama 14 hari itu yang akan berakhir pada 25 Oktober depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI