PEMAIN ranking pertama wanita negara, Low Wee Wern menepati ramalan apabila menjuarai Kejohanan Skuasy Kebangsaan edisi ke-36 yang berlangsung di Arena Nicol David, Bukit Jalil hari ini.
Kejayaan itu hadir selepas Wee Wern, 32, terpaksa bersaing dalam lima set sebelum menang 3-2 ke atas bintang muda negara, S. Sivasangari, 21, dengan keputusan 3-11, 11-7, 11-6, 3-11, 11-9.
Ia menyaksikan pemain dari Georgetown, Pulau Pinang itu berjaya mempertahankan gelarannya sekali gus merupakan kejuaraan kebangsaan keempat dalam kariernya selepas memenanginya pada 2012, 2014 dan 2019.
“Saya sangat gembira kerana kembali beraksi selepas tidak dapat menyertai sebarang kejohanan sejak Februari lalu.
“Saya tidak banyak melakukan kesilapan tetapi Sivasangari bermain dengan cukup baik hari ini. Secara keseluruhannya, saya sangat gembira kerana menjuarai gelaran ini buat kali keempat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Bagi kategori lelaki, Ivan Yuen tidak berdepan masalah untuk mempertahankan statusnya sebagai juara kebangsaan yang dimenangi sejak 2017, apabila berjaya menewaskan Muhammad Syafiq Kamal 11-8, 11-9 dan 11-6.
Sebagai rekod, Wee Wern dan Yuen berjaya membawa pulang piala kemenangan serta wang tunai berjumlah RM4,000 sebagai juara, manakala Sivasangari dan Syafiq masing-masing meraih RM2,000. – K! ONLINE