Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PEMILIK The Red Warrior (TRW), Norizam Tukiman akan mendapat khidmat ketua jurulatih yang baharu bagi membimbing pasukan Kelantan FC mengharungi kempen Liga Premier pada musim depan.
Norizam memberitahu, ketua jurulatih yang baharu itu akan dibantu oleh pengendali skuad, Yusri Che Lah yang sudah bersama Kelantan sejak tahun 2017 sebagai pembantu jurulatih.
“Kita akan mengambil jurulatih yang baharu untuk digandingkan bersama Yusri. Itu lebih penting untuk memantapkan lagi barisan kejurulatihan.
“Kita belum pasti lagi sama ada jurulatih import atau tempatan dan bila tiba masanya nanti saya akan umumkan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan antara Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menentang Kelantan FC di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin kelmarin.
Pada aksi itu, TRW berjaya mencatatkan kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan tunggal Daniel Ashraf Abdullah pada minit ke-28.
Kemenangan itu menyaksikan pasukan Kelantan menamatkan saingan Liga Perdana di tangga keempat selepas mengutip 18 mata menerusi 11 perlawanan.
Norizam mengakui berpuas hati dengan pencapaian ditunjukkan barisan pemain yang dibarisi ramai pemain muda apabila memberikan persembahan terbaik dan komitmen tinggi bagi setiap perlawanan.
“Sejak saya membeli Kelantan FC, banyak perubahan berlaku dalam pasukan. Kita dapat lihat sendiri bagaimana pasukan yang bergelut di dasar liga akhirnya berjaya keluar dari kelompok bawahan untuk mengutip 12 mata,” katanya.
Norizam juga mengingatkan Kelantan FC yang akan bersaing pada Piala Malaysia agar tidak perlu gentar menentang pasukan hebat yang berada dalam saingan Liga Super.