fbpx

Siasat kaitan kucing mati dan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

OPELIKA, ALABAMA – Pihak berkuasa Alabama sedang menyiasat kematian seekor kucing yang disahkan positif Covid-19 di bandar Opelika baru-baru ini, lapor saluran berita Fox News.

Doktor veterinar dari Jabatan Kesihatan Awam Alabama, Dr. Dee W. Jones berkata, pihaknya dengan Jabatan Pertanian dan Industri Alabama sedang berusaha me­rungkai misteri kaitan itu.

“Kucing itu disahkan positif Covid-19 kali pertama oleh Makmal Diagnosis Haiwan Negeri Thompson Bishop Sparks.

“Bagaimanapun, ahli patologi makmal mengesahkan ada luka pada sistem saraf kucing yang menyebabkan jangkitan bakteria. Mereka mencadangkan virus Covid-19 bukan penyebab utama kematian,” katanya.

Makmal Perkhidmatan Haiwan Kebangsaan turut menghantar sampel tambahan ujian haiwan itu dan mengesahkan sekali lagi bahawa kucing itu dijangkiti Covid-19.

Sementara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pula mendapati hampir semua kematian haiwan yang dikaitkan dengan virus Covid-19 ada jangkitan atau masalah kesihatan lain.

“Kira-kira 10 kes kematian haiwan di Amerika Syarikat dikait dengan pandemik Covid-19.

“Masih ada banyak perkara yang kita belum ketahui mengenai kekerapan haiwan dijang­kiti, jadi ini adalah peluang untuk mengkaji secara lebih mendalam bagi mengelakkan lebih banyak haiwan peliharaan terjejas,” katanya.

Tambah Jones, pihaknya sedang bekerjasama dengan doktor haiwan setempat serta pemilik haiwan itu untuk mengumpul lebih banyak maklumat mengenai keadaan kucing itu.

“Kami sedang bekerjasama dengan klinik haiwan tempatan dan pemilik kucing itu untuk mengumpul maklumat sejarah perubatannya serta haiwan lain yang ada di rumah berkenaan.

“Pada masa ini haiwan peliharaan tidak berisiko menghidap penyakit kronik akibat jangkitan Covid-19,” jelasnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI