Oleh YATIMIN ABDULLAH
RANTAU PANJANG – Seorang pengedar pil kuda dicekup anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gual Sitok di sini awal pagi tadi.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan pada pukul 4 pagi itu, PGA turut merampas 32 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM320.
Menurutnya, bertindak atas maklumat penyeludupan dadah, sepasukan anggota PGA telah melakukan serbuan di rumah tersebut.
“Semasa serbuan dilakukan, kita telah menahan suspek berusia 47 tahun dan merampas sebuah beg silang.
“Pemeriksaan di dalam beg itu membawa kepada penemuan 32 bijil pil kuda yang disimpan dalam satu bekas plastik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Azhari berkata, ujian saringan ujian air kencing yang dilakukan keatas suspek mendapati dia positif dadah jenis opiat dan Methamphetamine.
Katanya, siasatan awal mendapati, suspek merupakan pengedar pil kuda di sekitar kawasan Rantau Panjang.
Tambahnya, suspek bersama rampasan pil kuda itu telah dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE