KUALA LUMPUR – Semua petugas UMNO Kelantan yang ke Sabah bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) disahkan negatif Covid-19 selepas tiga kali menjalani ujian saringan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ujian saringan itu dilakukan oleh pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) membabitkan kesemua petugas.
“Walaupun saringan kali pertama dan kedua didapati negatif, saya tetap mengarahkan kesemua petugas menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebelum pulang ke pangkuan keluarga.
“Hari ini, kesemua petugas telah pulang ke kediaman masing-masing selepas diyakini bebas wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, UMNO Kelantan mengambil pendekatan untuk menjalani kuarantin kendiri demi keselamatan petugas, ahli keluarga, kenalan dan masyarakat khususnya di negeri Kelantan.
“Kami bertugas di Sandakan yang ditakrifkan sebagai kawasan hijau, namun keberadaan kami di Sabah selama hampir sebulan setengah itu amat lama.
“Oleh itu, memilih untuk menjalani kuarantin kendiri adalah wajar pada pandangan saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta masyarakat terus menjaga keselamatan diri dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. – K! ONLINE