PETALING JAYA – Seramai enam individu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Alkohol dan Pencegahan Jenayah yang dilakukan di sekitar daerah ini bermula 9 Oktober lalu hingga awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bertujuan membanteras dan mencegah penggunaan jalan raya di bawah pengaruh alkohol.
“Mereka yang ditahan merupakan lelaki tempatan berusia 23 hingga 52 tahun yang memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had telah ditetapkan dan akan disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Dalam operasi itu juga, seramai 629 orang pengguna jalan raya dan sebanyak 610 buah kenderaan telah diperiksa,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nik Ezanee, pihaknya turut memandang serius terhadap kesalahan pengguna jalan raya memandu dan menunggang kenderaan tanpa lesen.
“Saman di atas pelbagai kesalahan lalu lintas juga telah dikeluarkan kepada 44 orang pengguna jalan raya yang mana 12 daripadanya telah di saman di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen.
“Mereka dikehendaki hadir ke mahkamah pada satu tarikh yang ditetapkan untuk dibicarakan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya,” tegas beliau.
kapsyen gambar :
Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya memeriksa paras alkohol seorang pemandu dalam Ops Alkohol dan Pencegahan Jenayah yang dilakukan di sekitar daerah Petaling Jaya bermula 9 Oktober hingga awal pagi tadi.