Oleh TOREK SULONG
KOTA BHARU – Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia menyerahkan sumbangan kelengkapan keperluan asas bernilai RM150,000 kepada PBSM Kelantan sebagai persediaan awal untuk menghadapi musim banjir hujung tahun ini.
Naib Pengerusi PBSM Kebangsaan, Dr. S.Selva Jothi berkata, kelengkapan seperti selimut, pelitup muka, cecair pembasmi kuman, barangan makanan, keperluan warga emas dan kanak-kanak merupakan bahan penting yang diperlukan oleh mangsa banjir.
Menurutnya, penyerahan kelengkapan itu merupakan sumbangan peringkat pertama dan PBSM pusat bersedia menghantar bekalan tambahan sekiranya masih diperlukan.
“Sumbangan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman diberi keutamaan dalam usaha mengekang Covid-19 sebagai langkah menjaga prosedur operasi standard (SOP) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Kelantan adalah negeri pertama yang menerima barangan keperluan itu berasaskan permintaan yang dipohon oleh PBSM negeri sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan barangan keperluan asas di Pejabat PBSM Kelantan di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Agung PBSM, Hakim Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sumber PBSM, Datuk Seri Suhaimi Yacob dan Pengerusi PBSM Kelantan, Tuan Ghazali Tuan Long.
Dalam majlis sama, Selva turut melancarkan Skuad Sukarelawan Berbasikal (VoW) yang melibatkan sukarelawan PBSM negeri ini.
Mengulas lanjut, menurutnya, anggota PBSM seluruh negara akan digerakkan ke PPS untuk bekerjasama dengan agensi lain ketika membantu mangsa banjir yang dipindahkan.
Katanya, latihan secukupnya sudah dilaksanakan dalam kalangan anggota bukan hanya melibatkan rawatan kecemasan, namun bidang pengurusan komuniti dan khidmat kesukarelaan turut dititik beratkan.
Dalam perkembangan lain, menurut Selva, PBSM sedang membina sebuah Sekolah Kemanusian yang akan dijadikan sebagai pusat latihan pegawai serta sukarelawan PBSM dan Palang Merah di seluruh Asia Pasifik.
“Pembinaan infrastruktur sedang dilaksanakan di kawasan seluas empat hektar Kampung Kandis, Bachok dengan peruntukan RM1.3 juta,” katanya. – K! ONLINE