ISLAMABAD – Pakistan kelmarin mengharamkan aplikasi perkongsian video TikTok untuk membanteras penyebaran kandungan ‘tidak bermoral’.
TikTok yang dimiliki firma China, ByteDance menjadi satu fenomena global untuk akses perkongsian klip video durasi pendek.
Pakistan sebelum ini mengharamkan beberapa aplikasi janji temu seperti Tinder dan Grindr serta mengancam untuk menutup akses YouTube.
Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan (PTA) kelmarin mendakwa TikTok gagal patuh dua amaran yang menuntut sekatan terhadap kandungan ‘tidak bermoral, kasar dan lucah’.
“Aplikasi itu gagal untuk mematuhi peraturan sepenuhnya menyebabkan arahan dikeluarkan untuk menyekat TikTok di negara ini,” menurut PTA dalam satu kenyataan.
Rakyat Pakistan tidak boleh mengakses aplikasi itu sejak petang kelmarin.
Arslan Khalid, seorang penasihat media digital kepada Perdana Menteri Imran Khan, sebelum ini mendakwa eksploitasi, penolakan dan fantasi seksual mengenai gadis muda melalui TikTok meresahkan golongan ibu bapa.
Seorang pengguna TikTok warga Pakistan, Jannat Mirza menjadi individu pertama di negara itu untuk mempunyai 10 juta pengikut dan berkongsi kandungan pergerakan perlahan dan suai bibir.
PTA menyatakan pihaknya mungkin menilai semula langkah pengharaman itu jika pengendali aplikasi itu mengambil langkah mengawal kandungan.
Tahun lalu, Bangladesh menyekat TikTok untuk membanteras penyebaran pornografi manakala Indonesia mengenakan sekatan akses atas faktor kebimbangan kandungan bersifat kufur. – AFP