Oleh IVAN AMIRUL
LABUAN – Mayat seorang warga emas yang juga nelayan ditemui terapung di kawasan perairan laut berhampiran Pulau Ular, Kampung Layang-Layangan pagi tadi.
Mayat Mohd. Yassin Khamis, 68, ditemui lemas oleh nelayan lain kira-kira dua kilometer dari tepi pantai Taman Damai.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan sebuah bot dan seorang lelaki yang terapung di kawasan perairan laut pada pukul 7.21 pagi dari Balai Bomba dan Penyelamat Layang-Layangan.
“Anggota bomba yang tiba membantu mengalihkan mangsa untuk dibawa ke tepi pantai.
“Keadaan cuaca pada ketika itu ribut dan laut bergelora.
“Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhamad Farid berkata, siasatan mendapati mangsa merupakan pesara kerajaan dan dikatakan keluar menangkap ikan pada pukul 4.50 pagi tadi.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Labuan di sini untuk dibedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -K! ONLINE