fbpx

KKM digesa perjelas kuarantin bagi individu negatif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CIAPAN Annuar Musa berhubung gesaan kepada KKM untuk memperjelas kedudukan individu negatif Covid-19.

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) diminta segera memutuskan sama ada individu yang negatif Covid-19 perlu terus menjalani kuarantin selama 14 hari atau tidak.

Desakan itu dibuat Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan di Twitter, sebentar tadi.

Menurut Annuar, KKM harus memberi penjelasan sebenar berkaitan perkara itu bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“KKM harus jelaskan apa yang diwajibkan atas mereka (individu negatif Covid-19) sekarang setelah dapat keputusan negatif.

“Kuarantin atau tidak, tanpa penjelasan mereka (individu didapati negatif Covid-19) bakal difitnah langgar prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.

“Dah (sudah) banyak yang menjadi mangsa walau semua sudah sedaya upaya mematuhi arahan KKM terutamanya anggota Kabinet,” katanya.

Kenyataan Annuar itu merujuk kepada sidang akhbar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang memaklumkan tiada lagi individu yang disahkan positif Covid-19 terutama kontak rapat bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Noor Hisham dalam sidang akhbar itu memaklumkan, setakat hari ini, semua yang hadir pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pada 3 Oktober lalu disahkan negatif.

Mesyuarat sama turut dihadiri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa menteri, timbalan menteri dan Noor Hisham sendiri.

Bagaimanapun, kesemua yang hadir pada mesyuarat sama kini menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, kementeriannya akan mengumumkan beberapa langkah ekonomi dan kesejahteraan rakyat menerusi agenda Wilayah Prihatin minggu depan.

“Meskipun kes Covid-19 rendah di Wilayah Persekutuan namun, warga kota masih dihimpit kesempitan hidup, perniagaan lembab, kos tinggi dan kehilangan pekerjaan.

“Insya-Allah minggu depan kita akan umumkan beberapa lagi langkah Wilayah Prihatian demi memberi pembelaan kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI