fbpx

Kerja bomba bukan sekadar memadam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENURUT Mohammad Hamdan, tugas dan peranan JBPM semakin meluas pada masa ini mengikut keperluan semasa.

PERKHIDMATAN Bomba di negara ini bermula pada tahun 1883 dengan penubuhan Bomba Sukarela Negeri Selangor yang diketuai oleh H.F. Bellamy bersama 15 anggota.

Pasukan tersebut yang diletakkan di bawah Lembaga Kebersihan telah menjadi Pasukan Bomba dan Penyelamat tetap pada tahun 1895.

Perkhidmatan pasukan itu terus berkembang di setiap negeri dan diletakkan di bawah Majlis Perbandaran dan Lembaga Luar Bandar.

Selepas perang Dunia Kedua, pasukan Malayan Union Fire Services telah dibentuk dan beribu pejabat di Kuala Lumpur.

Pada 8 Januari 1997, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk membuat perubahan nama Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang secara rasminya berkuat kuasa pada 21 Februari 1997.

Menelusuri sejarah panjang penubuhan JBPM, kita lihat betapa banyak budi dan jasa yang ditaburkan oleh pasukan itu dalam menjaga keselamatan rakyat negara ini.

Pada ketika ini, bilangan anggota bomba di seluruh negara adalah sebanyak 14,000 orang, manakala Bomba Sukarela pula 15,000 orang.

Saban hari, tugas dan peranan JBPM dilihat semakin meluas serta mencabar yang memerlukan anggotanya sentiasa bersiap sedia untuk menempuh apa jua halangan mendatang.

Bagi membincangkan lebih lanjut mengenai perkara tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, ZUBAIDAH IBRAHIM menemu bual Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Sebagai pengenalan, boleh Datuk Seri jelaskan mengenai tugas dan peranan asas JBPM?

Mohammad Hamdan: Tugas asas kami termaktub di bawah Seksyen 5 akta 341 yang mana meliputi memadam, menentang, mencegah dan mengawal kebakaran.
Selain itu, kami bertanggungjawab untuk melindungi dan memberi perkhidmatan profesional bagi menyelamat nyawa serta harta demi kesejahteraan rakyat.
Tidak terhenti di situ, kami juga melakukan pencegahan bahaya kebakaran, menjalankan penyiasatan tentang sebab, punca dan hal kebakaran.

JBPM turut melaksanakan khidmat kemanusiaan termasuk perlindungan nyawa dan harta semasa berlakunya apa-apa bencana seperti banjir.
Pasukan ini juga bersedia menjalankan tugas diarahkan menteri pada bila-bila masa sebagaimana terkandung dalam Akta 341.

Apa pandangan Datuk Seri tentang tugas bomba yang meliputi pelbagai aspek bukan hanya menyelamatkan mangsa kebakaran?
Skop tugas JBPM sangat luas dan tidak tertakluk kepada pemadaman kebakaran sahaja, tetapi merangkumi pelbagai aspek kehidupan.

Antaranya, mengkaji dan menggubal undang-undang, peraturan dan piawaian tentang keselamatan kebakaran dan aspek tugas bomba.

Kami juga menyediakan platform untuk kesedaran awam dengan menganjurkan kempen kesedaran, pembelajaran awam dan pencegahan.

Khidmat JBPM turut diperlukan untuk kemalangan domestik dan industri termasuk ancaman haiwan berbisa yang boleh meragut nyawa.

Ketika mendepani Covid-19 pada ketika ini, JBPM mempunyai sembilan peranan utama dalam membantu memerangi wabak tersebut.

Selain itu, kami turut mempunyai anggota terlatih untuk mengendalikan bahan kimia berbahaya.

Selain memadam api, apakah kepakaran lain dimiliki anggota JBPM?
Kami mempunyai anggota yang terlatih dalam pelbagai situasi kecemasan bagi memastikan nyawa mangsa dapat diselamatkan dalam apa jua keadaan.

Antara pasukan elit itu adalah Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), Pasukan Penyelamat di Air, Emergency Medical Rescue Services, Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia, Pasukan Khas Udara Bomba, Multi Skill Team dan Rapid Intervention Motorcycle.

Selama ini orang anggap tugas Bomba hanya memadam kebakaran atau membantu mencari mangsa lemas. Boleh Datuk Seri boleh ulas perkara ini?
Skop tugas anggota bomba lebih luas daripada itu, turut melibatkan pelbagai jenis operasi dan penyelamatan lain.

 

JELAS Mohammad Hamdan, anggota bomba di negara ini turut berkemampuan untuk mencipta peralatan bagi kerja-kerja menyelamat.

 

Antaranya, kemalangan jalan raya, tumpahan dan kebocoran bahan bahaya, bencana alam, khidmat kemanusiaan, perlesenan, kelulusan pelan, menghapus bahaya kebakaran dan program kesedaran keselamatan awam, penyiasatan kebakaran, menjalankan penyiasatan tentang sebab, punca dan hal kebakaran.

Selain itu, kami turut melakukan pendakwaan dan pengkompaunan kesalahan udara, pengoperasian udara, mencari dan menyelamat dan ambulan udara.

Difahamkan disebabkan kepakaran yang ada pada anggota bomba, ada peralatan diubah suai untuk menyelamatkan mangsa dalam pelbagai keadaan. Mohon Datuk Seri kongsikan perkara ini?
JBPM secara konsisten mewujudkan pelbagai produk untuk memudahkan tugas di lapangan.
Keperluan kelengkapan sesuatu alatan hanya anggota di lapangan yang lebih tahu dan idea kreatif datang daripada mereka.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana JBPM pernah berjaya memenangi beberapa pingat emas di peringkat antarabangsa dalam pertandingan inovasi.

Di samping itu, pertandingan Inovasi JBPM yang dianjurkan setiap tahun banyak menghasilkan ciptaan inovasi kreatif untuk diguna pakai bagi kes-kes kecemasan.

Kami juga menubuhkan Pusat Inovasi Nilai di Pusat Penyelidikan Kebombaan (Puspek) di Bandar Ensteks, Nilai, Negeri Sembilan.

Hasil daya kreativiti dan inovasi warga JBPM itu, setakat ini telah berjaya menghasikan 35 item berimpak tinggi dengan kos rendah.

Sebanyak 10 daripada item itu telah dipatenkan, manakala satu berjaya dikomersialkan.

Produk yang dikomersialkan itu ialah Smart LPG Leakage Detector yang mampu mengesan kebocoran gas melalui notifikasi telefon pintar.

Ramai rakyat kagum dengan naluri kemanusiaan anggota bomba dalam operasi menyelamat tidak kira sama ada manusia atau haiwan. Adalah ini salah satu perkara yang dilatih dalam pasukan bomba?
Ya, ia dibuat melalui latihan dan kursus pemantapan yang disediakan oleh JBPM kepada setiap anggota.

Nilai murni ini ditanam dalam diri mereka sejak mengikuti kursus asas selama empat bulan setengah.
Kami sering menekankan nilai teras dan etika perkhidmatan bomba terutamanya kepada anggota baharu.

Pihak JBPM juga melaksanakan program modal insan dan penerapan nilai murni itu secara berterusan.

Ini bagi memastikan pematuhan standard dan peraturan diurus tadbir secara rapi oleh unit-unit seperti Unit Integriti dan Korporat.

Tugas bomba ini sangat mulia kerana kami sanggup memperjudikan nyawa sendiri untuk menyelamatkan orang yang kita tidak kenal.

Apakah cabaran utama yang perlu dihadapi oleh anggota JBPM?
Saya bahagikan cabaran ini kepada dua kategori, dalaman dan luaran.

Cabaran dalaman yang dihadapi adalah untuk mempunyai tahap kompetensi baik dengan mempunyai anggota terlatih, berilmu serta berkemahiran tinggi sejajar dengan keperluan semasa dan akan datang.

Kedua, kebanyakan peralatan dan logistik JBPM sudah lama. Justeru, kami memerlukan kelulusan peruntukan daripada kerajaan untuk membeli peralatan baharu termasuklah alatan gantian, aset-aset terkini, menyelenggara aset-aset sedia ada agar boleh digunakan dengan baik dan kualitinya memenuhi keperluan.

Ketiga, isu kebajikan pekerja yang mana anggota berasakan gaji dan jasa mereka perlu diberi perhatian agar setimpal dengan tugas berisiko tinggi.
Bagi cabaran luaran pula, kepesatan pembangunan fizikal negara atau urbanisasi telah meningkatkan risiko dan indeks bahaya berkembang dengan aktiviti manusia yang semakin rumit.

Lantas perkara itu mencetus pertambahan kes kejadian kecemasan seperti kemalangan dan kebakaran.

 

ANGGOTA bomba sentiasa bersedia untuk membantu orang ramai dalam apa jua keadaan sekalipun.

 

Apakah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan untuk memantapkan lagi tugas dan peranan anggota bomba?
Paling penting kualiti penyampaian kebombaan itu hendaklah menepati indeks prestasi utama (KPI) dan piawaian ditetapkan. Sebagai contoh, masa respons iaitu dari tempoh menerima panggilan hingga tiba ke tempat kebakaran hendaklah menepati piawaian.

Tahun lalu, JBPM menerima 110,000 panggilan kecemasan yang mana 50 peratus daripadanya untuk kes kebakaran.
Tetapi, kita hanya capai 55 peratus daripada jumlah panggilan itu di bawah 10 minit. Ini bermakna, KPI 100 peratus belum dapat dicapai.

Justeru, kami merangka pelan kebombaan dalam tempoh 20 tahun akan datang untuk memberi solusi kepada perkara tersebut dengan melibatkan industri dan komuniti.
Seiring dengan perkembangan teknologi, kami juga akan memodenkan perkhidmatan kebombaan seperti penggunaan robot, dron, sistem automatik dan kecerdasan buatan.

Bagaimana untuk memastikan kebajikan anggota JBPM sentiasa terjaga?
Bagi memastikan kebajikan anggota bomba terjaga, kami menubuhkan satu unit khas di bawah Bahagian Korporat iaitu Unit Agama dan Kebajikan sejak dua tahun lepas.

Unit itu bertanggungjawab menjaga kebajikan anggota, keluarga, pesara dan juga balu.
Kami juga menyediakan tabung kebajikan dan memastikan setiap anggota mempunyai insurans ekoran kerja mereka berisiko tinggi.

Di samping itu, kami turut membantu anak mereka melanjutkan pelajaran. Bagi anggota yang belum mempunyai rumah, pihak kami akan bekerjasama dengan Jabatan Perumahan Negara untuk mendapatkan kediaman pada harga lebih rendah.

Pihak kami turut mengkaji elaun anggota, memberikan galakan untuk sambung belajar di peringkat lebih tinggi dan memastikan gred jawatan mereka dipertingkatkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI