PEMAIN golf sensasi wanita negara, Kelly Tan meneruskan prestasi cemerlang pada kejuaraan major PGA Wanita meskipun kedudukannya selaku pendahulu telah dipintas oleh jaguh Korea Selatan, Kim Sei-young pada pusingan kedua semalam.
Pada saingan di Kelab Golf Aronimink, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), Kelly melakukan satu atas par 71 di pusingan kedua untuk keseluruhan dua bawah par 138 untuk menduduki tangga keenam keseluruhan ketika ini.
Pemain golf berusia 26 tahun itu berkongsi mata dengan empat pemain lain iaitu Ashleigh Buhai dari Afrika Selatan, Lydia Ko (Korea Selatan), Lauren Stephenson (Amerika Syarikat) dan Linnea Strom (Sweden).
Sementara itu, Sei-young yang turut memburu gelaran major pertama telah melakukan lima birdie pada enam lubang terakhir untuk mendahului satu pukulan di pusingan kedua semalam.
Kata Kelly, dia sudah melakukan yang terbaik untuk mengekalkan status pendahulu tetapi nasib tidak menyebelahi selepas pukulan yang dilakukannya tidak konsisten.
“Saya sudah memberi saingan, namun beberapa pukulan tidak menjadi. Tetapi saya tidak boleh menyerah kalah dan kekal agresif pada pusingan seterusnya,” kata pemain berusia 26 tahun itu semalam.
Pencapaian terbaik Kelly yang menduduki ranking No. 189 dunia pada kejuaraan LPGA sebelum ini adalah berkongsi penamat keempat keseluruhan pada kejuaraan Marathon Classic edisi 2014.