KUALA LUMPUR – Perkongsian sekeping gambar oleh pelakon, Aeril Zafril sedang mengendong isterinya, Wawa Zainal dalam akaun Instagram miliknya mengundang usikan netizen yang meminta mereka berhati-hati.
Gambar yang disertakan bersama status meluahkan kesyukuran dan terima kasih terhadap isterinya itu menarik perhatian netizen kerana berlatar belakangkan sebuah kereta mewah jenis Ford Mustang kuning.
“Alhamdulillah dikurniakan seorang isteri yang sungguh memahami dan sanggup berjuang bersamaku dalam kehidupan di dunia ini.
“Seorang wanita yang bila diberinya rumah, dia akan memberi kehangatan dalam rumah itu.
“Jika memberinya beras, dia akan mengembalikan rezeki dan jika memberinya cinta, dia akan memberikan pengabdian seumur hidupnya,” tulisnya.
Namun, kelibat kereta mewah yang terdapat di belakang kedua-dua selebriti itu lebih mencuri perhatian netizen sehingga rata-rata komen yang ditinggalkan bercakap tentang kereta tersebut.
“Nak panggil SPRM tak?” kata seorang pengguna Instagram.
Terdapat juga beberapa komen pengguna Instagram menasihati selebriti itu supaya tidak terlalu mempamerkan kekayaan yang dimiliki dan kekalkan sifat sederhana.
Pasangan yang kedua-duanya berusia 28 tahun telah mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2012 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa dan Aya Soffya.-K! ONLINE