Oleh ROSLIZA MOHAMED
KOTA BHARU – Angkatan Pertahanan Awam (APM) terpaksa memecah bahagian siling sebuah rumah untuk menangkap seekor ular tedung seberat 20 kilogram di Kampung Seri Kulim di sini malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Bharu, Leftenan Mohd. Safiyan Ibrahim, berkata pihaknya ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 8 malam.
Menurutnya, sebaik tiba, pasukannya meninjau dan melakukan pemeriksaan di bahagian siling di luar rumah berkenaan sebelum melihat ular itu bersembunyi di kawasan berkenaan.
“Seorang pegawai APM bersama empat anggota terpaksa bertindak memecahkan siling tersebut.
“Kita menggunakan pengepit untuk menangkap bahagian tengah badan haiwan reptilia itu sebelum membawanya turun ke bawah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Mohd. Safiyan, ular sepanjang empat meter itu telah dimasukkan ke dalam sangkar sebelum ia dibawa pulang ke pejabat APM.
Katanya, selain itu, keluarga yang tinggal rumah berkenaan turut mengadu bahawa rumah mereka pernah dimasuki biawak.
Tambahnya, justeru, APM menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan diminta supaya menghubungi pihak berkenaan sekiranya berdepan dengan haiwan berbisa. – K! ONLINE