Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut, manakala dua lagi mangsa cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Harimau Tarum berdekatan Plaza Pelangi di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, Mohd. Rizal Buseri, 31, yang juga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut di tempat kejadian.
Dua lagi mangsa iaitu Nur Fatin Nazrah, 23, dan Chang Ah May, 78, yang menaiki dua buah kenderaan lain cedera ringan.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Honda Accord dikatakan baru sahaja menghantar bapa mertuanya untuk menghadiri mesyuarat agung di sebuah hotel berdekatan lokasi berkenaan.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Nordatul Badrol Abd. Rahman, pihaknya menerima panggilan kemalangan melibatkan Honda Accord, Perodua Myvi dan Proton Saga berhampiran simpang empat di Plaza Pelangi.
Sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin dengan sembilan anggota dikerah ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, pihak kami mendapati Honda Accord dipandu si mati dalam keadaan terbalik dan mangsa tersepit di bahagian pemandu.
“Mangsa dikeluarkan dalam masa dua minit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum dibawa ke hosital.
Difahamkan, kenderaan mangsa dilanggar sebuah kereta lain yang terbabas.
Sementara itu, kakak ipar mangsa dikenali sebagai Farhana Amir berkata, Mohd. Rizal baru menyambut ulang tahun kelahiran anak sulungnya yang berusia lima tahun malam kelmarin.
“Sejak semalam (kelmarin) dia kerap berdiam diri. Malam tadi, dia menyambut hari lahir anak sulungnya.
“Dia (mangsa) ada tiga anak berusia lima, dua tahun dan lapan bulan,” katanya.
Jenazah Mohd. Rizal yang bertugas di pangkalan TLDM KD Sultan Ismail, Pengerang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tenggara, Kulai selepas solat Asar mengikut istiadat ketenteraan.-K! ONLINE