Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR BAHRU – Penduduk setempat di Jalan Pulai Utama 67, Taman Pulai Utama, Skudai di sini hari ini dikejutkan dengan kehadiran seekor anak buaya di hadapan sebuah rumah salah seorang penduduk kawasan tersebut.
Komander Operasi diketuai oleh Penguasa Bomba Kanan II, Inggai Anak Bakau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan reptilia itu pada pukul 7.22 pagi.
Katanya, sejurus menerima laporan tersebut, sebuah jentera FRT dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai dengan kekuatan lapan orang anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar terdapat seekor anak buaya berukuran satu meter panjang dan berat dianggarkan lima kilogram.
“Anak buaya itu berjaya ditangkap oleh pihak bomba dengan bantuan orang awam dalam tempoh kira-kira 10 minit.
“Reptilia tersebut telah diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi ditamatkan pada pukul 7.33 pagi. – K! ONLINE