fbpx

Tergamam lihat mayat adik berlumuran darah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pembantu pam minyak maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh Toyota Vios dalam kemalangan di kilometer 50 Jalan Batu Pahat - Mersing tengah malam tadi.

Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT

KLUANG – Seorang pembantu pam minyak maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh Toyota Vios dalam kemalangan di Kilometer 50, Jalan Batu Pahat – Mersing semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, mangsa, Muhammad Zulhafiz Ashraf Ramlan, 19, maut di lokasi kejadian manakala pemandu dan penumpang kereta tidak cedera.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku di kawasan lampu isyarat yang mana Toyota Vios datang dari arah Kluang menghala ke Taman Berlian.

“Si mati pula dari arah Air Hitam menghala ke Kluang.

“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian. Punca kemalangan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, abang mangsa, Mohamad Zulhelmi, 23, berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian menimpa adik keempat dari lima beradik itu selepas ada individu yang datang ke rumah mereka di Taman Delima.

“Saya dan abang bergegas ke tempat kejadian, sebaik tiba saya tergamam melihat adik sudah meninggal dunia dengan darah berlumuran di atas jalan.

“Saya merangkulnya dan mendapati kedua tangan dan kakinya terkulai sebelum saya mengangkatnya masuk ke dalam van polis,” katanya yang memberitahu arwah baru pulang dari kerja di sebuah stesen minyak di Taman Desa.

Katanya, dia berasa terkilan apabila hajatnya untuk mengumpulkan kesemua adik-beradiknya dalam satu majlis perkahwinan abang sulungnya dan dirinya tidak lama lagi tidak tercapai.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Ramlan Sulaiman, 56, berkata, arwah bekerja sambilan selepas Sijil Tinggi Agama Malaysia di Maahad Johor.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI