Oleh TOREK SULONG
PASIR PUTEH – Polis Kelantan telah mengeluarkan sebanyak 812 kompaun atas pelbagai kesalahan melibatkan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penularan wabak Covid-19 di negeri ini sejak Mac lalu.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, 20 peratus daripada jumlah kompaun itu melibatkan pengusaha premis perniagaan yang tidak patuh SOP.
“Sepanjang bulan ini, sebanyak 212 kompaun telah dikeluarkan dengan kebanyakan kesalahan melibatkan kegagalan masyarakat memakai pelitup muka di kawasan awam atau ketika mengunjungi premis perniagaan.
“Bagaimanapun, angka itu semakin menunjukkan penurunan berdasarkan tahap kesedaran semasa masyarakat dalam mematuhi SOP yang telah di gariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan pertama ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Shafien, setakat ini, tahap pematuhan orang ramai di negeri ini terhadap SOP yang ditetapkan telah mencapai 90 peratus dengan amalan norma baharu sudah diamalkan.
“Anggota polis yang memantau pematuhan SOP ini juga telah diingatkan menjadi contoh dan teladan orang ramai. Selain mengeluarkan kompaun mereka juga perlu mendidik orang ramai.
” Masyarakat seharus tidak leka dengan kelaziman menggunakan pelitup muka sebagai mematuhi arahan yang di keluarkan bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan sepenuhnya,” ujarnya. – K! ONLINE