KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan telah menambah sebuah lagi hospital bagi merawat pesakit Covid-19 khusus di Sabah iaitu Hospital Marudu.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kini terdapat tujuh hospital untuk merawat kes Covid-19 yang memerlukan penjagaan perubatan sekali gus menyediakan lebih kemudahan penjagaan rawatan rapi bagi pesakit kategori 3 hingga 5 di Sabah.
Kementerian juga akan menambah jumlah katil bagi semua tujuh buah hospital itu kepada 946 katil.
“Bagi menyediakan rawatan menyeluruh, Kementerian Kesihatan juga telah menambah enam lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).
“Oleh itu, Kementerian Kesihatan kini mempunyai 16 PKRC bagi merawat kes Covid-19 yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan (kategori 1 dan 2). Dengan itu, PKRC di Sabah kini mempunyai sejumlah 3,876 katil.
“Kapasiti keseluruhan kementerian di Sabah telah melonjak sebanyak 2,596 katil, kepada 4,834 buah katil. Kadar penggunaan katil buat masa ini ialah 30 peratus, masih boleh menampung pertambahan kes,” katanya melalui satu kenyataan akhbar hari ini.
Adham menambah, langkah kesiapsiagaan hospital di pantai timur Sabah turut disepadukan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyediakan hospital medan di Tawau.
“Kemudahan itu membolehkan pesakit bukan Covid-19 dari Hospital Tawau terus mendapat rawatan. Hospital medan ini khususnya menyediakan perkhidmatan obstetrik dan ginekologi, pediatrik dan pembedahan am,” katanya.
Katanya, langkah tersebut akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes-kes Covid-19 kategori 3 hingga 5, manakala kes-kes kategori 1 dan 2 akan terus ditempatkan PKRC. – K! ONLINE