PARIS – Persiapan pasukan Yamaha Monster Energy menjelang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) esok di Grand Prix (GP) Perancis mungkin terjejas selepas pasukan tersebut kehilangan enam jurutera teknikal selepas salah seorang daripada mereka dikesan positif Covid-19.
Enam kru Yamaha tersebut ingin berlepas ke Perancis, namun tergendala apabila salah seorang daripada mereka disahkan positif Covid-19 dan akan menjalani kuarantin termasuk individu penting, Ketua Projek YZR-M1, Takahiro Sumi.
“Yamaha Motor Co. Ltd. dan Yamaha Motor Racing ingin mengumumkan bahawa enam kru jurutera termasuk Ketua Projek YZR-MI, Takahiro Sumi tidak akan menyertai perlumbaan GP Perancis minggu ini.
“Lima anggota tersebut disaring dan keputusan ujian negatif. Selepas tempoh 24 jam, ujian saringan kedua akan dilakukan untuk memeriksa semula keputusan ujian pertama,” kata pasukan tersebut dalam satu kenyataan.
Yamaha menjelaskan kesemua kru tersebut akan menjalani proses kuarantin di Andorra dan tidak akan dibenarkan untuk menyertai pasukan Yamaha di GP Perancis. Yamaha akan mencari pengganti secepat yang mungkin untuk bersama mereka di Le Mans.
Bagaimanapun, Yamaha mengatakan pihaknya akan berhubung dengan Takahiro Sumi serta kelima-lima kru berkenaan untuk membantu pasukan mereka di Le Mans nanti menerusi talian komunikasi.
Kesemua kru Yamaha akan dipantau atau disaring sekali lagi sebelum berlepas menyertai perlumbaan GP Aragon pada 18 Oktober ini nanti. – AGENSI