LONDON – Penyerang sensasi, Dominic Calvert-Lewin meneruskan momentum cemerlang dengan meledak gol pada penampilan debut bersama skuad England ketika menang 3-0 ke atas Wales dalam aksi persahabatan antarabangsa awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Wembley itu, pemain Everton itu berjaya meledak gol selepas menanduk masuk hantaran Jack Grealish, manakala Conor Coady dan Danny Ings turut mencetak nama selaku penjaring The Three Lions.
Kata Calvert-Lewin, jaringan yang dilakukan umpama mimpi menjadi kenyataan tetapi dalam masa yang sama sedikit terkilan kerana gagal meraikan gol tersebut dengan penyokong yang masih belum dibenarkan hadir ke stadium kerana pandemik Covid-19.
“Saya akui sangat teruja apabila berjaya meraih gol antarabangsa pertama pada kemunculan debut bersama England. Secara jujur, saya anggap kerja keras saya sangat berbaloi kerana bukan mudah untuk mewakili pasukan ini.
“Bagaimanapun, saya sedikit ralat kerana beraksi di stadium yang kosong tetapi kemenangan ini tetap bagaikan mimpi menjadi kenyataan buat saya secara peribadi,” kata pemain berusia 23 tahun itu yang telah meledak sembilan gol bersama Everton musim ini.
Sementara itu, ketua jurulatih England, Gareth Southgate memuji impak yang diberikan oleh Calvert-Lewin tetapi masih ada ruang yang perlu dia perbaiki kerana bukan mudah untuk kekalkan tempat dalam kesebelasan utama.
“Saya berpuas hati dengan apa yang dia pamerkan pada perlawanan ini dan cukup serasi dengan rakan sepasukan. Prestasi memuncak bersama Everton dibawa ke England dan saya sangat gembira,” katanya.
England dijadualkan bertemu dengan Belgium pada aksi Liga Negara-Negara Eropah pada awal pagi Isnin ini. – AGENSI