KUALA LUMPUR- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited bekerjasama dan mengekalkan kesiagaan bagi membantu negara memutuskan penularan rantaian pandemik COVID-19 yang kini memasuki gelombang ketiga.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata ketika ini 1140 anggota Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diatur gerak dalam membantu pihak berkuasa melalui Ops Penawar.
Katanya, anggota ATM menguat kuasakan penugasan sekatan jalan raya (SJR), rondaan MPV serta meningkatkan aspek kawalan seperti pemasangan kawat duri di kawasan yang berisiko tinggi seperti mana yang dilaksanakan di Kunak dan Semporna, Sabah.
“Atur gerak bagi anggota ini akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa terutama di kawasan-kawasan PKPD dan PKPDB di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu serta PKPB Mukim Klang.
“Sehingga 9 Oktober, sebagai contoh TDM telah menambah 40 anggota untuk ditugaskan di kawasan Zon Merah di Mukim Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, ATM melalui Ops Benteng mempertingkatkan kawalan persempadanan maritim dan daratan terutama di Pantai Timur Sabah bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran.
“ATM melalui Kor Kesihatan Diraja menyediakan Penasihat Teknikal di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) selain perkhidmatan nyah kuman serta atur gerak aset perubatan medan seperti pos rawatan dan hospital medan,” katanya.
Pada masa yang sama, TUDM turut melaksanakan penerbangan khas untuk membawa peralatan perubatan, peralatan perlindungan diri, sampel ‘real time’ dengan menggunakan pesawat angkut jenis A400M. -K! ONLINE