Oleh ROHANA MOHD. NAWI
KOTA BHARU – Seorang warga emas maut selepas basikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah motosikal ketika sedang membuat pusingan U di hadapan Pondok Polis Peringat, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 petang itu, mangsa, Riffin Ibrahim, 68, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang melintas jalan dengan menunggang basikal untuk membuat pusingan U di kawasan itu.
“Bagaimanapun, penunggang sebuah motosikal jenis Demak Evo ZR yang datang arah Melor gagal mengawal motosikal ekoran jarak yang terlalu dekat.
“Insiden itu menyebabkan motosikal berkenaan merempuh basikal yang ditunggang mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Menurut Abdul Rahim, siasatan di lokasi kejadian mendapati, hanya kenderaan dari arah Peringat menghala ke Melor dibenarkan membuat pusingan U di kawasan itu.
Beliau berkata, penunggang motosikal yang berusia 53 mengalami kecederaan pada bahagian tangan serta kaki dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab di sini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) dekat Kubang Kerian untuk bedah siasat.
Sementara itu, adik mangsa, Hashim Ibrahim, 61, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, abangnya pernah cedera dalam kemalangan sebanyak tiga kali sewaktu menunggang basikal.
Katanya, beliau mengetahui kejadian menimpa abangnya kira-kira pukul 8.30 malam selepas dihubungi anaknya.
“Ketika itu saya berada di luar kawasan dan bergegas balik ke tempat kejadian.
” Saya terkejut selepas melihat abang saya meninggal dunia manakala basikalnya remuk teruk,” katanya.
Hashim berkata, abangnya masih bujang dan tinggal bersama anak saudaranya di Kampung Bechah Keranji, Peringat.
Katanya, Riffin dikenali dengan panggilan Ripin Basikal oleh penduduk kampung kerana gemar mengayuh basikal sejak lebih 20 tahun lalu.
Tambahnya, jenazah abangnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Bechah dekat Keranji pagi tadi. -K! ONLINE