PARIS – Pelumba Suzuki Ecstar, Joan Mir yakin jentera GSX-RR mampu mengulangi ‘magis’ untuk menaiki podium sekali lagi menjelang Grand Prix (GP) Perancis di Litar Le Mans pada hujung minggu ini.
Suzuki mula mempamerkan aksi terbaik mereka dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini selepas meraih podium berganda dalam tempoh 13 tahun pada GP Barcelona akhir bulan lalu.
Pada perlumbaan itu, Mir dan Alex Rins berjaya menamatkan saingan di kedudukan kedua serta ketiga selepas mempamerkan tunggangan cemerlang dengan memintas pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli yang sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Sejak tahun 2007, ini merupakan kali pertama Suzuki kembali menempatkan dua pelumbanya berdiri di atas podium di litar sama.
Kali terakhir Suzuki meraih podium berganda pada GP San Marino 2007 yang ketika itu menerusi John Hopkins dan Chris Vermeulen di Litar Misano.
“Apa yang saya fikir ketika ini adalah ingin mendapatkan keputusan terbaik seawal sesi kelayakan minggu ini. Pasukan telah lakukan yang terbaik pada musim ini dan saya yakin GSX-RR mampu melakukan kejutan sekali lagi.
“Kami tinggalkan GP Barcelona dengan keputusan terbaik dan Le Mans tiada masalah buat kami. Mengutip mata adalah misi penting buat pasukan ketika ini,” kata Mir.
Tambahan 20 mata di Barcelona memastikan Mir hampir untuk memburu gelaran dunia MotoGP selepas hanya dipisahkan lapan mata dengan Fabio Quartararo yang kini mendahului carta kedudukan pelumba dengan 108 mata.
“Saya tidak memikirkan soal pemburuan gelaran dunia kerana perlumbaan masih lagi panjang dan misi saya ketika ini adalah mengekalkan momentum terbaik bersama pasukan setiap pusingan,” ujarnya. – AGENSI