PEMAIN sensasi skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid mahu menjadikan Portimonense SC sebagai ‘batu loncatan’ untuk mencipta namanya di pentas Eropah.
Safawi yang dipinjamkan daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) tiba di Portugal pada awal minggu ini dan diperkenalkan secara rasmi oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Portimonense, Rodiney Sampaio kepada wakil media tempatan di Stadium Portimao semalam.
Kata Safawi yang akan menyarung jersi No. 29, peluang yang diberikan oleh Portimonense tidak boleh disia-siakan terutama apabila kelab itu telah membuka peluang buat beberapa pemain muda menyerlah sehingga berjaya berhijrah untuk mewakili kelab gergasi di sana.
“Saya akan memberikan fokus penuh sepanjang berada di Portimonense kerana ini adalah peluang buat saya mengikuti jejak langkah dua bekas pemain pasukan, Bruno Tabata dan Shoya Nakajima yang memiliki reputasi hebat.
“Secara jujur, saya tidak kisah untuk beraksi di mana-mana bahagian serangan kerana saya cukup selesa dan memiliki pengalaman di posisi tersebut. Kini, saya tidak sabar untuk membuat debut pertama bersama pasukan,” katanya dalam sidang media semalam.
Sebagai rekod, Tabata yang juga pemain kelahiran Brazil berusia 23 tahun telah dipancing oleh kelab gergasi Portugal, Sporting Lisbon bulan lalu manakala Nakajima pula ketika ini mewakili pasukan FC Porto.
Sementara itu, Sampaio percaya kualiti yang dimiliki oleh Safawi setanding dengan Nakajima.
“Safawi memiliki teknikal yang cukup baik dan kami percaya dia boleh mengikut jejak langkah Nakajima kerana mereka berdua memiliki persamaan yang mana hadir ke sini bukan daripada kelab yang terkenal,” kata Sampaio.
Nakajima yang berusia berusia 26 tahun telah beraksi bersama Portimonense secara pinjaman pada musim 2017 daripada pasukan Jepun, Tokyo FC sebelum mengikat kontrak secara tetap pada 2018.