Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
KLANG – Sebilangan penduduk di sekitar Kampung Sungai Udang di sini terlupa bahawa kawasan mereka terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Mukim Klang apabila hadir menunaikan solat Jumaat di beberapa buah masjid di sini hari ini.
Hasil tinjauan Kosmo! mendapati terdapat arahan penutupan yang digantung di pagar masjid tersebut selaras kawalan semasa PKPB.
Seorang penduduk, Azhar Rani, 50, berkata, situasi terjadi susulan merupakan kali pertama PKPB dilaksanakan di mukim mereka dan membuatkannya terlupa penutupan Masjid Darul Mutaqqin.
“Sebagai anak Mukim Klang dan kampung di sini saya terlupa dengan larangan solat Jumaat semasa PKPB.
“Perkara ini bukan selalu berlaku dan akan lebih sensitif dengan arahan pihak berkuasa,”katanya ketika ditemui di perkarangan masjid tersebut di hari ini.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum ini mengeluarkan arahan menutup dan memberhentikan sebarang aktiviti surau dan masjid yang berada di dalam zon merah bagi mengekang penularan Covid-19.
Sementara itu ahli kariah Masjid An-Naim, Jalan Kebun, Yazid Muhidin, 54, akur dengan perintah tersebut dan memastikan kawalan dalam dilakukan sebaiknya oleh pihak berkuasa dalam menurunkan lengkungan pandemik Covid-19.
“Dua minggu ini bersolat di rumah sahaja memandangkan ibadah Solat Jumaat ketika ini boleh digantikan dengan solat Zohor,” katanya. -K! ONLINE