PARIS – Gara-gara pandemik koronavirus, Ukraine terpaksa menyenaraikan jurulatih penjaga golnya, Oleksandr Shokovskiy di dalam skuad ketika tewas 1-7 kepada Perancis pada aksi persahabatan di Stade de France awal pagi semalam.
Keputusan itu terpaksa dibuat selepas tiga penjaga gol, Andriy Pyatov, Andriy Lunin dan Yuriy Pankiv didapati positif Covid-19, sekali gus menjadikan Georgiy Bushcan sebagai penjaga gol tunggal.
Justeru, Ukraine mengambil keputusan menyenaraikan bekas penjaga gol Dynamo Kiev berusia 45 tahun itu sebagai pemain simpanan sekiranya Bushcan mengalami kecederaan.
“Oleksandr Shovkovskiy menamatkan karier profesional sebagai pemain pada 2016 tetapi dia masih mampu mengekalkan fizikalnya dalam keadaan terbaik dengan sentiasa melakukan latihan secara individu.
“Bagaimanapun, barisan kejurulatihan tidak menganggap Shovkovskiy wajib diturunkan pada perlawanan hari ini (semalam) kerana ia hanya sebagai langkah berjaga-jaga,” kata pengurusan pasukan Ukraine.
Memandangkan Bushcan dapat diturunkan pada aksi semalam, maka khidmat Shovkovskiy tidak diperlukan dan dia hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang perlawanan.
Selepas dibelasah Perancis pada perlawanan itu, Ukraine bakal berdepan laluan sukar pada saingan Liga Negara-Negara Eropah apabila dijadualkan bertemu Jerman dan Sepanyol. – AGENSI