Oleh SAFINA RAMLI
GEORGE TOWN – Jabatan Mufti akan meminta Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang supaya mengarahkan masjid dan surau seluruh negeri ini mendirikan solat sunat hajat ekoran peningkatan penularan Covid-19.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, solat hajat itu bertujuan bagi memohon pemeliharaan dan perlindungan Allah SWT daripada jangkitan pandemik Covid-19.
“Di samping itu, jabatan ini juga akan memohon Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) agar mengarahkan qaryah-qaryah di negeri ini supaya membaca qunut nazilah di dalam solat berjemaah untuk tujuan yang sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Baru-baru ini, Kluster Penjara Reman membabitkan Penjara Reman Pulau Pinang merupakan antara kluster baharu yang dikenalpasti oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, Kluster Penjara Reman mula dikesan pada seorang lelaki warga tempatan berusia 85 tahun yang juga kes kematian ke-141.
Lelaki itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam penjara awal pagi Isnin lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang dan disahkan positif Covid-19. – K! ONLINE