fbpx

[VIDEO] Lima lori keluarkan sampah dari rumah warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh ASLIZA MUSA

IPOH – Kira-kira satu tan sampah sarap dikeluarkan dari rumah yang didiami seorang pesara guru di Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini hari ini.

Pembersihan yang bermula pada pukul 7.30 pagi itu dijalankan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menggunakan lima buah lori.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, pembersihan dijalankan di pekarangan dan luar rumah wanita itu di mana sampah sarap berkenaan akan dibawa ke pusat kitar semula untuk pengasingan.

Katanya, kerja-kerja pembersihan juga akan diteruskan di dalam rumah berkenaan yang dipercayai turut ditimbuni sampah sarap.

“Kita telah mendapat persetujuan daripada wanita itu untuk masuk ke dalam rumah. Sekiranya memang terdapat sampah, kita akan keluarkan (buang).

“Kita mahu dia hidup dalam persekitaran yang sihat. Jika di luar sahaja bersih namun di dalam rumah pula sebaliknya, ia tetap tidak menjamin persekitaran yang baik untuknya,” katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi pembersihan oleh MBI di sini hari ini.

Menurut beliau, melalui pertemuannya dengan warga emas itu, dia dinasihatkan agar tidak mengulangi ‘hobi’ mengumpul barang terbuang dan berdepan tindakan sekiranya masih melakukan perbuatan serupa.

Katanya, pemeriksaan secara berkala juga akan dilakukan pihak MBI di kawasan tersebut.

“Saya telah beritahunya  jangan lagi mengumpul barang dan membawa balik ke rumah. Jika masih lagi berlaku perkara sama, pihak MBI akan mengambil tindakan di bawah bidang kuasa mereka.

“Pendekatan yang kita ambil dalam menangani kes ini juga cukup berhemah dengan menasihati terlebih dahulu sebelum disusuli kaunseling dalam masa terdekat,” katanya.

Akhbar pada Selasa lalu melaporkan, wanita berusia 63 tahun tinggal di rumah teres dua tingkat yang ditimbuni sampah sarap sejak 10 tahun lalu.

Wanita yang mempunyai tiga anak namun memilih tinggal seorang diri itu gemar mengutip barang terbuang dan mengumpul di rumahnya hingga menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan jiran. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI