fbpx

Lebih 100 tong minyak kotor dilonggok secara haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lebih 100 tong berisi minyak kotor ditemui dilonggokkan secara haram di sebuah tanah persendirian di Balik Bukit, Tanjung Kling di sini, semalam.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Lebih 100 buah tong mengandungi minyak kotor ditemui dilonggokkan secara haram di sebuah kawasan tanah persendirian di Balik Bukit, Tanjung Minyak di sini, semalam.

Kesemua tong itu dipercayai dilonggokkan oleh sebuah syarikat kontraktor yang dilantik bagi menguruskan penstoran bahan buangan berjadual itu.

Kegiatan itu hanya terbongkar selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri menerima aduan mengenai kebimbangan berlaku kebocoran minyak di kawasan itu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Rosli Osman ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan, namun sebarang kenyataan rasmi akan diberikan oleh pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air.

“Pasukan kita telah ke lokasi sebaik sahaja mendapat kebenaran daripada pemilik tanah berkenaan dan siasatan mengenai kandungan tong serta penempatan secara haram di kawasan itu sedang dilakukan.

“Bagaimanapun sebarang kenyataan rasmi akan dibuat oleh pihak kementerian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, kegiatan tidak bertanggungjawab itu berjaya disorok oleh syarikat kontraktor terlibat selama beberapa tahun sebelum disedari penduduk kampung.

“Dimaklumkan, tong-tong minyak itu telah disimpan bertahun-tahun di kawasan berkenaan.

“Kini penduduk kampung mula bimbang sekiranya berlaku letupan atau pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada longgokan tong berisi minyak kotor berkenaan,” katanya.

Jelas Nor Azman, pihaknya bagaimanapun ada menerima panggilan daripada syarikat pengeluar minyak berkenan memaklumkan turut sedang menjalankan siasatan melibatkan tindakan dilakukan oleh syarikat kontraktor dilantik.

“Saya juga nak beri peringatan kepada syarikat minyak jangan lah sewenang-wenang melantik kontraktor sehinggakan alam sekitar dan rakyat menjadi mangsa,”katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI