Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor disahkan positif Covid-19 dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini, Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri, Effendi Mohamed Sunoh memaklumkan Hajiji kini berada dalam keadaan baik dan stabil.
Katanya, Hajiji sebelum ini secara sukarela menjalani kuarantin kendiri selepas salah seorang daripada kakitangannya didapati positif Covid-19.
“Semasa dalam kuarantin kendiri, Hajiji sekali lagi telah menjalani ujian Covid-19 dan hasil ujian terbaru itu mengesahkan beliau positif.
“Beliau kini menjalani rawatan di HEQ,” kata Effendi.
Jelasnya, walaupun sedang menjalani rawatan, Hajiji masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya di tempat rawatan menerusi panggilan telefon dan sidang video.
“Kerajaan Negeri berfungsi seperti biasa dan Ketua Menteri mengajak seluruh rakyat agar bertenang dan sama-sama berdoa agar Allah sembuhkan dan selamatkan Sabah serta Malaysia daripada Covid-19,” katanya. – K!ONLINE