Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI
KUALA LUMPUR – Sebanyak 35 tan racun rumpai dan serangga perosak tidak berdaftar dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis yang dijadikan stor penyimpanan di Rawang, Selangor, Selasa lalu.
Serbuan oleh sepasukan 27 anggota penguat kuasa daripada Seksyen Penguatkuasaan, Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja Jabatan Pertanian berjaya merampas 32 jenis racun bernilai RM476,760.
Turut serta dalam serbuan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem).
Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Mohd. Nasir Warris berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam berkenaan aktiviti premis terbabit yang menjalankan urusan jual-beli secara terus kepada pengguna.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini telah dijadikan hub penyimpanan sebelum racun makhluk perosak tersebut dihantar dan diedarkan ke seluruah negara mengikut pesanan yang diterima.
“Hasil serbuan dipremis itu kita telah merampas pelbagai jenis racun makhluk perosak bagi kegunaan kawalan rumpai dan sebahagian besar rampasan melibatkan racun yang mengandungi perawis atau bahan aktif Paraquat Dichloride tidak berdaftar.
“Racun yang mengandungi bahan ini telah diharamkan penggunaannya di negara ini sejak 1 Januari lalu kerana ia bukan sahaja berbahaya kepada alam sekitar, malah kepada pengguna itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar rampasan racun perosak tidak berdaftar di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 di Wisma Tani di sini hari ini.
Tambah Mohd. Nasir, serbuan tersebut juga turut merampas pelbagai racun serangga berlabel tulisan negara Thailand dan tidak berlabel disyaki tiruan.
Kes disiasat di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974 mengikut Seksyen 13 (1) (b) iaitu mengilang, Seksyen 20 (3) menjual dan Seksyen 53A (1) (a) memiliki racun makhluk perosak tidak berdaftar.-K! ONLINE