fbpx

Empat terselamat kereta ditimpa pokok tumbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT orang termasuk seorang bayi terselamat selepas kereta dinaiki mereka ditimpa pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang di Jalan Kampung Baru, Sungai Petani pada semalam.

Oleh ABD. RAZAK OSMAN

SUNGAI PETANI – Empat orang termasuk seorang bayi terselamat selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebatang pokok yang tumbang dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang di kawasan sebuah pasar raya di Jalan Kampung Baru di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu,  kesemua mangsa, Laili Shafiei, 57; Norfatihah Nizam, 26; Nur Azzahra Muhamad Izham, 3, dan seorang bayi berusia 11 bulan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda, Kapten (AP) Azahar Ahmad berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.30 petang.

“Kesemua mangsa dari Taman Arked di sini yang berada di dalam kereta jenis Perodua Myvi berjaya dibawa keluar tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, kata beliau, pihaknya menerima laporan berlaku lima kejadian pokok tumbang di daerah Kuala Muda akibat hujan lebat dan angin kencang pada petang kelmarin.

“Dua kejadian melibatkan pokok tumbang menimpa kereta manakala tiga lagi merentangi jalan antaranya di lampu isyarat Taman Malinja, Semeling dan Jalan Nuluri, Kampung Pulau Sayak,” ujarnya.

Tambahnya, kerja-kerja pembersihan di lokasi terlibat dilakukan bersama pasukan bomba dan Tenaga Nasional Berhad.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI