APABILA bercakap tentang obesiti, ramai yang mengelak untuk ‘terjebak’ dalam masalah tersebut yang dianggap antara punca utama kepada penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan jantung.
Namun melalui pemerhatian dan kajian, tidak ramai rakyat negara ini yang cakna dengan isu tersebut dan rata-rata mereka menganggap perkara itu remeh.
Buktinya, ramai pihak tidak mempraktikkan cara pemakanan yang disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti amalan makanan seimbang yang diajar sejak di bangku sekolah.
Ramai juga yang masih leka dengan isu ini, kedai-kedai makanan segera masih penuh dengan pelanggan meskipun lewat malam sehingga ada yang sanggup beratur lebih sejam di kaunter pandu lalu bagi memenuhi selera masing-masing.
Ini membuktikan bahawa rakyat negara ini masih menganggap masalah obesiti ini sebagai perkara biasa dan bukan ‘musuh’ kepada kesihatan mereka.
Menurut data terkini KKM melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), 5.5 juta atau 30.6% rakyat Malaysia adalah gemuk dan obes.
Daripada jumlah itu, wanita mempunyai peratusan yang lebih tinggi berbanding lelaki dan dari segi peratusan mengikut kaum, kaum India mempunyai peratusan tertinggi.
Berdasarkan jumlah peratusan mengikut negeri pula, Putrajaya mempunyai kadar peratusan obesiti tertinggi iaitu 43 peratus disusuli Melaka dan Perlis masing-masing 36 peratus.
Melalui kajian itu juga, penjawat awam mempunyai kadar obesiti paling tinggi iaitu kira-kira 40.3 peratus dan secara keseluruhan data itu mendedahkan kadar obesiti di Malaysia adalah yang tertinggi di rantau ini.
Dibimbangi trend ini akan meningkatkan lagi jumlah penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, diabetes dan kardiovaskular pada masa akan datang.
Mengulas mengenai permasalahan ini, Pegawai Dietetik Kanan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Nor Elyana Awang berkata, faktor pemakanan dan kurang aktiviti senaman antara punca peningkatan kadar obesiti.
Menurutnya, negara kita boleh dianggap ‘syurga’ makanan kerana kedai-kedai menjual makanan ada di merata tempat dan operasi kedai ini juga hampir tiada had masa.
“Selain itu, trend masyarakat yang suka mencuba makanan dan minuman baharu seperti ‘air boba’ dan makanan berkeju turut menjadi faktor.
“Di samping itu juga, penyediaan makanan yang kebanyakannya berasaskan santan dan minyak sawit juga menyumbang kepada punca pertambahan berat badan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Nor Elyana, pengambilan makanan berasaskan bahan tersebut adalah tidak digalakkan kerana mempunyai kalori yang tinggi dan jika tidak ‘dibakar’ dengan sempurna seperti bersenam mampu meningkatkan risiko untuk obesiti.
Justeru katanya, amalan yang disyorkan KKM seperti suku-suku separuh dan piramid makanan sihat perlu dipraktikan.
“Kesedaran di peringkat awal sangat penting agar generasi akan datang dapat mengelakkan diri dari terjebak dengan masalah obesiti, sekali gus dapat mengurangkan risiko penyakit.
“Peranan dan usaha untuk mengembalikan kehidupan yang sihat bukan hanya terletak ditangan kerajaan, tapi perlu disokong oleh semua rakyat di pelbagai peringkat usia,” jelasnya.