Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
TELUK INTAN – Dua premis makanan bukan Islam di bandar ini dikesan menyalah gunakan logo Halal Malaysia untuk mengaburi masyarakat Islam kononnya menyediakan makanan halal dalam serbuan oleh pihak berkuasa semalam.
Sebuah premis penyediaan makanan tersebut didapati tidak pernah memohon sijil halal manakala sebuah lagi premis menjual roti dan kek terbesar di Teluk Intan didapati menggunakan sijil halal yang sudah tamat tempoh.
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak di sini hari ini, asas pemeriksaan itu berdasarkan maklumat awam berhubung penggunaan logo halal yang meragukan.
Berikutan itu, sepasukan lima Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Teluk Intan diketuai oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Mohd Badrul Hisham Ahmad Alias bersama tujuh pegawai Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) menjalankan pemeriksaan di dua premis tersebut.
“Hasil pemeriksaan di premis pertama mendapati premis menjalankan perniagaan penyediaan makanan itu menggunakan logo Halal Malaysia.
“Siasatan awal menemui seorang wanita bukan Islam berumur 41 tahun yang bekerja sebagai penyelia di premis perniagaan tersebut menyatakan syarikat itu memulakan operasi sepenuhnya pada Januari 2020,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, semakan awal dengan Pegawai Jaipk mendapati tiada permohonan sijil halal dibuat oleh premis perniagaan tersebut.
Sehubungan itu, pihak KPDNHEP Teluk Intan telah menyita beberapa dokumen dan barang-barang lain sebagai bahan bukti.
Kenyataan itu seterusnya menjelaskan pemeriksaan di premis kedua yang menjalankan peniagaan menjual kek dan roti terbesar di Teluk Intan mendapati syarikat itu pernah mempunyai Sijil Halal tetapi telah tamat tempoh.
Daripada pemeriksaan tersebut, pihak Jaipk memaklumkan bahawa terdapat beberapa bahan dan tempat pembuatan kek yang tidak diisytiharkan serta diragui status halal bahan tersebut.
Sehubungan itu, katanya, pihak KPDNHEP telah menyita logo Halal Malaysia dan beberapa dokumen lain berkaitan.
Kenyataan itu berkata, kes itu telah melanggar Perenggan 4(2) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) (Pindaan) 2012 dan menjadi kesalahan di bawah Perenggan 8(a) Perintah yang sama. -K! ONLINE