PENYANYI Rain berdepan dengan sikap melampau peminat fanatik yang mengganggu ketenteramannya.
Lebih teruk, ada yang sanggup datang ke rumahnya, menekan loceng dan membuat bising.
Agensi Sublime Artist Agency menerusi satu kenyataan memberi amaran kepada peminat fanatik atau lebih dikenali sebagai ‘sasaeng’ agar menghentikan perbuatan melampau sebelum tindakan keras diambil.
“Tindakan biadap sebegini bukan sahaja mengganggu privasi Rain, malah keluarganya juga sering berdepan rasa takut hampir setiap hari.
“Sepatutnya mereka hidup dengan aman bahagia dan selesa di rumah sendiri yang merupakan lokasi privasi individu, bukannya melalui hari-hari dengan perasaan takut dan bimbang,” ujar agensi itu menerusi satu hantaran dalam Instagram.
Sekiranya tindakan mengganggu privasi dan keselamatan Rain masih berterusan, pihak juga agensi tidak akan teragak-agak mengambil tindakan keras demi melindungi fizikal dan mental artis naungan mereka.
“Tiada sebarang budi bicara dalam hal ini kerana tindakan kalian telah menyebabkan kemudaratan kepada artis kami.
“Hantaran tersebut merupakan amaran terakhir sebelum kami mengambil tindakan keras,” katanya lagi.
Perkongsian Sublime Artist Agency tersebut turut disertakan dengan bukti berupa gambar muka beberapa orang suspek dikaburkan wajah yang diambil daripada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di hadapan rumah Rain.