BEIJING – China telah menguatkuasakan peraturan melarang kakitangan awam minum minuman keras walaupun selepas waktu pejabat dalam usaha untuk meningkatkan prestasi mereka dan memulihkan imej pemerintah.
Menurut media tempatan, langkah tersebut dilihat sebagai alternatif terbaik untuk mencegah jenayah rasuah yang kerap berlaku semasa jamuan makan yang melibatkan minuman beralkohol selepas waktu pejabat.
Beberapa wilayah di China termasuk Nanjing, Gansu, Jiangsu dan Qinghai sudah menguatkuasakan peraturan baharu itu.
Malah di wilayah Nanyang, pegawai dan kakitangan awam akan menjalani ujian alkohol secara rambang sebulan sekali bagi memastikan mereka mematuhi arahan tersebut.
Jika sebelum ini, larangan mengambil minuman keras hanya berkuat kuasa ketika waktu pejabat, peraturan baharu itu melibatkan keseluruhan waktu sepanjang minggu bekerja dan dibenar minum arak pada hari minggu.
Menurut kenyataan pemerintah, sekiranya ada kakitangan awam yang mahu mengambil minuman beralkohol pada hari bekerja, mereka perlu membuat permohonan rasmi kepada ketua jabatan masing-masing.
Dalam pada itu, sebuah artikel dalam agensi berita Xinhua mengkritik langkah tersebut dan menganggap ia menceroboh privasi pekerja selepas waktu pejabat.
“Menghalang pekerja mengambil minuman keras pada waktu pejabat adalah perlu tetapi untuk memanjangkannya hingga di luar waktu pejabat adalah keterlaluan,” demikian menurut artikel tersebut. – Agensi