fbpx

Arahan penutupan sekolah kini boleh dibuat KPM – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Khas MKN secara sidang video di kediamannya hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) boleh mengeluarkan arahan penutupan sekolah jika terdapat guru atau murid yang disahkan positif Covid-19 tanpa menunggu penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan secara sidang video di kediamannya hari ini.

Beliau berkata, pengumuman rasmi mengenai penutupan sekolah akan dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin.

“Memandangkan kes-kes di Sabah masih menunjukkan peningkatan, mesyuarat bersetuju supaya KPM meneliti keperluan untuk menutup sekolah-sekolah di seluruh negeri itu.

“Kes-kes baharu Covid-19 di Selangor dan Wilayah Persekutuan juga turut dibincangkan termasuk kes yang melibatkan murid di Sekolah Kebangsaan Bangsar,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Muhyiddin berkata, mesyuarat bersetuju supaya KKM berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan bantuan dari segi kemudahan perubatan yang boleh ditawarkan oleh Kor Perubatan ATM.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia untuk memberi keutamaan kepada pengurusan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah yang menjadi antara punca merebaknya pandemik Covid-19 di negeri tersebut.

“Ini termasuk keperluan meningkatkan kapasiti Depot Tahanan Imigresen untuk menempatkan PATI yang ditahan dan memastikan semua tahanan tidak terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin lega dengan perkembangan positif di Kedah selepas dimaklumkan bahawa kebanyakan kluster termasuk Kluster Sivagangga, Kluster Muda dan Kluster Sanglang tidak lagi mencatatkan kes baharu.

“Hanya Kluster Bah Sintok dan Tembok merekodkan kes baharu namun, masih dapat dibendung.

“Ini menunjukkan langkah-langkah yang diambil oleh pelbagai agensi untuk membendung pandemik ini di Kedah berkesan,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI