SEOUL – Sebuah bangunan apartmen setinggi 33 tingkat terbakar di Korea Selatan lewat malam tadi, lapor Daily Mail dan beberapa portal tempatan.
Kebakaran dipercayai bermula di tingkat 12 pada pukul 11.07 malam (waktu tempatan) dan marak hingga keseluruhan blok itu terbakar.
Portal Busan.com melaporkan bangunan kediaman itu ialah Apartmen Samhwan Art Nouveau di kawasan kejiranan Dal-Dong, bandar Ulsan iaitu kira-kira 53 kilometer dari bandar Busan.
Semasa kebakaran berlaku, anggota bomba bergegas untuk membawa keluar 136 isi rumah di blok apartmen berkenaan.
Rakaman video menunjukkan seluruh bangunan kediaman itu terbakar hingga api menjulang tinggi ke bahagian bumbung.
Beberapa struktur konkrit pada bangunan itu didapati jatuh ke jalan raya dengan kepulan asap hitam jelas kelihatan di langit.
Jabatan Bomba Ulsan berusaha memadamkan kebakaran. Api merebak pantas disebabkan tiupan angin kuat.
Malah api kebakaran dari apartmen yang dibawa angin turut membakar sebuah pusat beli-belah berhampiran namun, berjaya dipadamkan bomba, lapor portal Chosun.com.
Jabatan Bomba Ulsan menyatakan seramai 26 orang dibawa ke hospital akibat terhidu asap kebakaran. Setakat ini, tiada laporan kematian diterima.
Seramai 43 lagi penduduk dibawa ke kawasan bumbung dan beberapa anggota penyelamat berada di situ untuk membantu mereka. – Agensi