GENOA – Kebimbangan dan ketakutan mula menyelubungi pasukan Serie A, Genoa selepas 22 orang termasuk 17 pemain kelab itu sudah disahkan positif Covid-19.
Bek kanan pasukan tersebut, Davide Zappacosta mendedahkan penularan virus dalam pasukan itu berpunca daripada penjaga gol, Mattia Perin yang diuji negatif sehari sebelum menunjukkan simptom jangkitan.
“Semuanya bermula apabila ujian yang dijalankan ke atas Mattia Perin menunjukkan keputusan negatif. Bagaimanapun, keesokannya dia mula menunjukkan simptom-simptom.
“Dia diarahkan menjalani kuarantin selepas diuji negatif, namun sebelum itu dia sudah pun menjangkiti orang lain ketika dalam bilik persalinan,” kata Zappacosta yang turut dijangkiti Covid-19.
Perin serta Lasse Schone merupakan pemain paling awal yang disahkan positif Covid-19 dan mereka tidak berada dalam skuad ketika dibelasah Napoli 0-6 bulan lalu.
Justeru, Zappacosta yang dipinjam dari Chelsea berharap ada cara baharu boleh digunakan bagi ujian Covid-19 kerana dia menganggap ujian calitan tidak tepat.
“Bagi saya ujian calitan tidak terlalu tepat dan kita perlukan kaedah lain. Ujian calitan kadang-kadang menunjukkan negatif meskipun anda sudah dijangkiti virus tersebut,” luahnya. – AGENSI