fbpx

120 buah keluarga hirup udara “hitam”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZMAN Mohd. Yatim menunjukkan habuk arang batu yang mengotori kawasan perumahan di Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling, Melaka. UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
pix: RASUL AZLI SAMAD

MELAKA – Penduduk di Balik Bukit, Tanjung Kling dekat ini terpaksa hidup dengan menghirup udara “hitam” sejak beberapa tahun lalu apabila kawasan itu menjadi laluan treler membawa muatan arang batu.

Kenderaan berat itu dikatakan meninggalkan habuk arang batu yang berterbangan di sepanjang laluan berdekatan kawasan perumahan yang didiami kira-kira 120 buah keluarga berkenaan.

Seorang penduduk, Azman Mohd. Yatim, 55, berkata, penduduk yang tinggal di hadapan Jalan Tanjung Bruas terutamanya terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah termasuk kesihatan, malah udara berhabuk itu turut melekat di badan.

Katanya, keadaan itu turut menyebabkan dua anak perempuan kembarnya berusia 17 tahun terpaksa berulang alik ke hospital kerana menghidap penyakit semput dan masalah alergi.

“Kami amat menderita akibat kejadian ini, tak boleh nak hidup dalam keadaan selesa kerana pintu rumah tak boleh nak buka untuk mendapatkan pengaliran udara yang segar.

“Pernah beberapa kali kami mengadu kepada pihak berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), malah, setiap kali aduan dibuat kepada pengusaha arang batu itu juga, hanya kelihatan kerja-kerja membersihkan jalan dibuat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Azman, mereka juga bimbang dengan keselamatan kerana kenderaan berat tersebut akan melalui jalan itu pada setiap masa seawal pukul 8 pagi selain diletakkan sesuka hati di hadapan rumah setelah tamat waktu operasi.

“Jadi, saya merayu sangat kepada pihak terbabit untuk menyelesaikan masalah ini. Kita tak mahu pampasan, tapi kita mahu masalah ini selesai dan kalau boleh tutup sahaja tempat arang batu dalam pelabuhan atau dipindahkan ke lokasi lain yang tiada penempatan,” tegasnya.

Turut meluahkan kekecewaan adalah Ghazali Rosni, 61, yang telah menetap di kampung tersebut lebih 30 tahun dan mendakwa kini isterinya turut menghidap penyakit asma gara-gara udara hitam itu.

“Jangan kata hirup udara tercemar, pakaian yang dijemur pun sering kotor semula kerana habuk berterbangan sebab itu kami terpaksa tutup pintu dan tingkap serta perlu mencuci lantai luar setiap hari,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI