MESKIPUN mengharungi enam aksi tanpa kemenangan menentang jaguh Jepun, Kento Momota, namun perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia enggan mengibarkan bendera putih.
Sebaliknya, pemain kelahiran Kedah itu sedia untuk memperbaiki teknik serta gaya permainannya bagi memastikan dia mampu menumbangkan jaguh No. 1 dunia tersebut.
Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia tanpa berselindung mengakui dia tertarik dengan gaya permainan Momota selain menganggap juara dunia itu sebagai pencabar utama.
“Saya tahu ramai pemain berbakat serta berpengalaman di luar sana, jadi bukan tugas mudah untuk berjaya. Apa yang penting, saya perlu sentiasa fokus kekalkan prestasi.
“Bagi saya, Momota adalah pencabar terkuat ketika ini. Dia memiliki gaya permainan yang cukup menarik dan saya harap boleh kalahkannya pada kejohanan akan datang,” kata Zii Jia.
Sementara itu, Zii Jia yang akan beraksi buat kali pertama pada Sukan Olimpik Tokyo tahun depan enggan meletakkan tekanan tinggi pada diri sendiri biarpun dianggap sebagai pengganti legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Tegasnya, dia tidak mahu disamakan dengan Chong Wei memandangkan setiap pemain ada karakter tersendiri selain memiliki gaya permainan berbeza.
“Memandangkan saya akan beraksi pada Sukan Olimpik buat kali pertama, saya tidak mahu letakkan tekanan terlalu tinggi. Saya akan cuba berikan yang terbaik serta timba pengalaman berharga.
“Setiap pemain ada karakter masing-masing dan saya perlu cari karakter istimewa itu. Jika anda mahu jadi pemain hebat, anda perlu berbeza daripada orang lain,” tegasnya.