LONDON – Pemain sayap Wolverhampton Wanderers, Adama Traore yang sebelum ini menjadi perebutan dua negara iaitu Sepanyol dan Mali akhirnya dianggap selesai selepas Traore membuat keputusan untuk bersama skuad La Roja.
Pemain berusia 24 tahun itu sebelum ini disenaraikan untuk beraksi bersama skuad utama pasukan Mali selepas dijadualkan akan berdepan Ghana dan Iran pada Oktober ini, namun menolak tawaran tersebut untuk menyertai Sepanyol.
Traore dilahirkan di Sepanyol dan ibu bapanya berasal dari Mali. Traore juga telah menyertai skuad kebangsaan Sepanyol sejak peringkat bawah 16 tahun lagi.
Justeru, pemain sayap tersebut dipilih oleh Luis Enrique menjalani sesi latihan menjelang pertembungan menentang Portugal pada aksi persahabatan yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Sebelum ini, Enrique turut memanggil Traore untuk berada dalam skuad utama Sepanyol untuk menentang Jerman dan Ukraine pada bulan lalu, namun terpaksa dikeluarkan sementara kerana positif Covid-19.
Selepas selesai menjalani proses kuarantin, Enrique memanggil semula Traore untuk menjalani sesi latihan menjelang persiapan menentang Portugal.
“Ini merupakan panggilan ketiga kita ingin membawa masuk Traore. Keputusan untuk menyertai mana-mana pasukan adalah milik pemain itu sendiri.
“Apa yang saya faham, dia (Traore) ingin bermain bersama Sepanyol. Saya juga telah berjuma dengannya sebelum ini dan dia ingin bersama pasukan ini. Saya rasa tiada masalah lain selepas ini,” kata Enrique. – AGENSI