PARIS – Impian jaguh tenis Ukraine, Elina Svitolina untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Terbuka Perancis tidak kesampaian apabila mengalami kekalahan mengejut kepada pemain di ranking ke-131 dunia awal pagi semalam.
Pada aksi suku akhir itu, Svitolina gagal mempersembahkan permainan yang baik apabila tewas straight-set 6-2,6-4 kepada pemain Argentina, Nadia Podoroska.
Hasil kemenangan tersebut, pemain berusia 23 tahun itu melakar sejarah buat Argentina apabila melangkah ke separuh akhir Terbuka Perancis dalam tempoh 16 tahun selepas kali terakhir melakukannya menerusi Paola Suarez pada tahun 2004 di Paris.
Bukan itu sahaja, dia juga menjadi pemain kelayakan pertama beraksi di peringkat separuh akhir selepas berjaya menewaskan Svitolina yang juga pemain pilihan ketiga kejohanan.
“Podoroska bermain dengan sangat baik. Pada hari ini, saya akui tidak turun dengan aksi yang baik selepas terganggu dengan beberapa masalah.
“Saya terlalu fokus kepada perkara negatif dan itu benar-benar mengecewakan. Ada banyak perkara yang mengecewakan hari ini. Pada akhirnya saya gagal mempamerkan permainan sebenar.
Saya memberi peluang kepada Podorska mengawal perlawanan tersebut, sekali gus memberikan kesukaran untuk saya,” kata Svitolina.
Dalam pada itu, Podoroska berharap kejayaan itu mampu melonjakkan semangatnya untuk tampil dengan lebih baik selepas dijadualkan akan berdepan wakil Poland, Iga Swiatek esok.
– AGENSI