Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan mereka mempunyai senarai nama selebriti, individu dan ahli perniagaan yang pernah menerima wang daripada sindiket Macau Scam yang ditahan baru-baru ini.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, beliau menyeru kepada individu berkenaan supaya tampil ke hadapan untuk memberi maklumat berkaitan sindiket itu seterusnya membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada senarai nama itu membabitkan selebriti tanah air atau tidak, sebaliknya mahu individu-individu berkenaan segera tampil memberi maklumat.
“Tak kira selebriti atau tidak, mana-mana pihaklah. Saya pun tak mahu membuat spekulasi sama ada mereka itu selebriti atau tidak.
“Senarai nama itu merujuk kepada mana-mana pihak yang pernah dan mungkin menerima wang daripada mereka (sindiket) yang ditahan itu,” katanya ketika bersiaran langsung menerusi MACC.fm di sini hari ini.
Katanya, beliau mahu mana-mana individu terbabit supaya tampil segera ke hadapan sebelum dipanggil sendiri oleh pihaknya.
“Saya percaya kepada kata bidalan orang Melayu, siapa makan cili, dia terasa pedasnya. Jadi, tak payah (tidak perlu tunggu) kami panggil.
“Kami akan layan mereka dengan baik. Jadi, beri kerjasama kepada kami. Saya tidak mahu guna ayat ‘serah diri’, sebaliknya sila tampil ke hadapan. Itu ayat paling lembut saya boleh gunakan,” katanya.
Azam berkata, beliau memberi jaminan individu-individu berkenaan akan dijadikan sebagai saksi sekiranya mereka sanggup bekerjasama.
“Jadi datang kepada kita dan beri maklumat. Pemberi maklumat juga akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan kita jamin identiti mereka akan dilindungi,” katanya. – K! ONLINE