Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
DUNGUN – Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Ismail di sini menjadi sekolah keempat di Terengganu diarahkan tutup dalam tempoh seminggu akibat penularan pandemik Covid-19.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, penutupan SMA Sultan Ismail disebabkan salah seorang pelajarnya telah disahkan positif Covid-19 pada semalam.
“Sekolah itu (SMA Sultan Ismail) diarah tutup dari 8 Oktober hingga 15 Oktober ini bagi mengelakkan penyakit berjangkit merebak.
“Sepanjang tempoh itu, kerja-kerja membasmi kuman perlu dilakukan di premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kemunting, Kuala Nerus menjadi sekolah pertama di Terengganu diarah tutup pada 2 Oktober lalu setelah salah seorang gurunya disahkan positif Covid-19.
Dua lagi sekolah di daerah Kuala Nerus iaitu SK Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kompleks Seberang Takir pula diarah tutup pada Isnin lalu akibat penularan pandemik sama.
Selain itu, sebuah taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Bandar Al Muktafi Billah Shah dekat sini dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) juga ditutup setelah kakitangannya disahkan positif. – K! ONLINE